Skip to main content

MSAJ Career Fair 2024: Pemangkin Pelajar Merintis Kerjaya Impian

Che Muhammad Firdaus
02 October 2024

TOKYO, 14-15 September - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) dengan jayanya telah menganjurkan Career Fair 2024 yang berlangsung selama dua hari di The University of Tokyo. Program ini menerima sambutan luar biasa daripada 141 pelajar Malaysia di Jepun, terutamanya dalam kalangan pelajar tahun akhir.

Pada hari pertama Career Fair 2024, sebanyak 23 syarikat terkemuka mengambil bahagian, termasuklah Canon, Rohm Semiconductor, DXC Technology, dan lain-lain. Program ini memberikan peluang berharga kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan syarikat-syarikat berprestij, sambil mengumpul pengalaman serta pengetahuan mendalam mengenai dunia pekerjaan.

Selain membuka laluan kepada peluang kerjaya yang lebih cerah sama ada di Jepun mahupun Malaysia, program ini turut mempersiapkan para pelajar untuk menghadapi cabaran dalam dunia profesional. Memetik kata-kata salah seorang peserta, Mas Noordanial Haiqal dari The University of Electro-Communications, program ini memberikan pendedahan awal yang berharga mengenai syarikat-syarikat terkemuka di Jepun dan Malaysia.

Selanjutnya pada 15 September, ahli jawatankuasa MSAJ berpeluang menghadiri sesi perkongsian ilmu bersama Dato' Hj Zulkifli Abdul Malek bersempena Malaysia-Japan Visionaries Conference (MJVC) 2024. MJVC merupakan sebuah persidangan akademik anjuran Malaysia-Japan Academic Association yang berpusat di The University of Tokyo. Manakala, Dato' Hj Zulkifli merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama pelajar yang dihantar ke Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur, tajaan kerajaan Malaysia. Dalam perkongsian beliau, Dato' Hj Zulkifli menasihati para pelajar Malaysia di Jepun untuk sentiasa bergaul dengan masyarakat tempatan bagi memahami budaya mereka dengan lebih mendalam. Beliau turut menggalakkan para pelajar untuk bekerja di Jepun selepas tamat pengajian, mengumpul sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman, sebelum membawanya pulang ke tanah air tercinta demi menyumbang kepada pembangunan negara.

Salah seorang peserta, Ainul Radhiah dari Utsunomiya University, berkongsi pandangannya bahawa perkongisan ilmu ini telah membuka matanya tentang kepentingan menjadi seorang ‘mini ambassador’ di Jepun. Dato' Hj Zulkifli menekankan bahawa peranan pelajar bukanlah sekadar berusaha untuk mendapatkan ijazah, tetapi juga untuk mempromosikan budaya Malaysia kepada masyarakat Jepun serta memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Akhir kalam, pihak MSAJ mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang telah terlibat dalam menjayakan Career Fair 2024. Tidak dilupakan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelajar yang turut serta memeriahkan program ini. Diharapkan agar program ini dapat memberikan pengalaman serta pengetahuan yang berharga untuk dimanfaatkan dalam kerjaya masa hadapan. Semoga bertemu lagi di Career Fair yang akan datang!

Last modified on 27 December 2024 11:33 PM

Latest Articles

19 March 2026

Majlis Iftar Ubat Rindu Anak Perantauan

TOKYO, 14 Mac 2026 - Mendekati pengakhiran bulan Ramadan 1447 Hijri, MSAJ telah menganjurkan majlis MSAJ Iftar bagi sesi 2026 di Toyosu Campus Cafetaria, Shibaura Institute of Technology.  Dibawah...
23 September 2026

Kanto Summer Game 2026

HIRATSUKA, 8 Ogos 2026 – MSAJ Kanto telah berjaya menganjurkan Kanto Summer Game 2026 di Hiratsuka Beach Park, Kanagawa, dengan kerjasama IMAN Jepun serta tajaan daripada PPL Jepun. Program ini dia...
29 June 2025

Why Jobs Aren't Coming Through

It’s not always you. Sometimes, it is the market. You’ve got the qualifications, the experience, and the drive. So why are the offers still not coming in? The truth is, getting hired today takes m...